Kehadiran Yang Menyembuhkan

Assalamualaikum semua!

"Wa min ayatihi an khalaqakum min anfusakum azwaja litaskunu illaiha waja
alna bainakum mawaddatan wa rahmah."

Ayat Quranl: surah Ar Rum ayat 21 ..sebahagian bacaan didalam
makthurat, semoga dengan membacanya dan menghayati maknanya kita memahami hidup
berumah tangga. Juga adalah perlu difaham zauj tidak bererti isteri akan tetapi pasangan sama
ada suami atau isteri ..

Dan dari tanda-tanda  Kami , Kami jadikan dari diri kamu pasangan kamu
supaya kamu mendapat kerehatan dengannya dan diantara kamu cinta kasih
dan rahmah!

Begitu indah ayat Allah menyeutkan tentang pasangan suami isteri.
Kehadhiran suami suatu kerehatan dan penyembuhan bagi isteri dan
sebaliknya!

Kaedah rawatan *spiritual healing* membawa ide * healing presence *
(kehadhiran yang menyembuhkan) dan juga membangkitkan keadaan yang
membawa kepada penyakit sebagai *wounding presence* (kehadhiran yang
melukakan).

Kanak-kanak yang datang dari rumah tangga di mana suami isteri tidak
mempunyai perasaan kasih sayang mendapat perangai yang menunjukkan
kesan *wounding presence* didalam watak dan jiwanya yang akan menjadi
murung, susah berinteraksi, kurang keyakinan diri atau sebaliknya ia itu
agressif dan buas, susah dikawal.

Seringkali bila terdapat keadaan dimana salah seorang dari pasangan
suami isteri tidak menghormati pasangannya , akan berlaku penindasan dan
penganaiaan secara emosi (emotional abuse) walaupun tidak dengan pukulan secara fisikal.

Perasaan dan fikiran negatif seseorang mempunyai kesan yang sangat buruk
kepada ahli keluarganya baik pasangan mahupun anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

Seorang isteri sering sakit kepala, mukanya muram dan kelihatan bosan.
Kak Su bertanya, sudah selesaikah masaalah? Jawabnya dengan malas dan
tidak bermaya.."Bolehlah"...
Dari jawapannya itu Kak Su faham bahawa perasaannya masih juga tidak
dapat suatu penyelesaian yang memuaskan. Ia menghadapi tekanan emosi
hampir setiap hari didalam hidup berumah tangganya.
Kesian anak-anak , tiba-tiba ia berkata..
Mengapa?
"Ialah, saya tension, anak-anak saya marahkan dan saya berkasar dengan
mereka."
Kenapa? Adakah kamu tidak berpuas hati dengan suami lagi?
Dia selalu mengungut saya, kalau saya berani meminta cerai , dia akan
pastikan anak-anak dia ambil dan saya tidak akan dapat melihat mereka
langsung selepas itu.
Wanita ini telah tidak tahan dengan suami yang tidak menanggung
perbelanjaan rumah tangga dan dengan itu telah mengambil keputusan
keluar dari rumah yang didiami bersama, yang mana sewa bulanan dia
sendiri yang tanggung. Aduan yang dia telah membuat tentang perbuatan
suami kepejabat kadi tidak dapat penyelelsaian dan ia bertindak
demikian sebab terlalu tertekan dengan sikap suami. Suami mengadu pula
bahawa si isteri nusyuz dan mengugut bahawa ia akan pastikan kadhi
berpiahk sebelahnya dengan terbuktinya nusyuz. Maka isteri terpaksa
berbalik semula untuk mengelak anaknya kena ambil tetapi ia berada
didalam keadaan tertekan dan berada dibawah ugutan. Sudah tentu keadaan
suami isteri berbentuk *wounding presence* dimana isteri dipaksa dan
suami pengugut!

Pembaca yang budiman, pernahkah terfikir apa akibat ugutan di dalam
sebuah rumah tangga?
Seringkali Kak Su dengar suami mengugut akan kahwin lain atau akan
ceraikan isteri dan ini membawa kepada isteri dikawal dengan ucapan dan
ugutan begini. Suasana perkahwinan dimana sebelah pihak dikawal dengan
ugutan tidak membawa kepada *healing presence* yang bahagia maka tidak
terlaksanalah tujuan Allah jadikan pasangan suami isteri.

.................
" God in eternity through a sigh of compassion has contemplated your being and invested you
in Divine perfection. But you are imprisoned in time and space and so have not realized that
investiture. Can you awaken to that which is beyond time and space and receive your
inheritance?" Ibn Arabi

Pembaca yang budiman. Apakah dia *healing presence*? Kita sering tidak berpuas hati dengan
pasangan kita dan anak-anak kita, mak kita, pekerja kita, majikan kita dan boleh dikatakan
kesemua orang , kadang-kadang termasuk diri kita sendiri dan ada juga yang tidak berpuas
hati dengan Allah !!!

Lihat kepada kucing atau anak kecil. Seringkali kita dapati kucing atau anak kecil akan
memanjat seseorang itu dan akan mengelak sesetengah orang! Kenapa anak-anak ini akan
memilih sesetengah orang dan mengelak sesetengah orang. Ataupun memilih seseorang
disesetengah masa dan mengelak orang yang sama dimasa lainnya. Jawapannya ialah keadaan
dalaman orang itu sendiri.

Pernahkah anda berada disisi seorang yang sangat disenangi? Anda boleh mengadu apa saja
dan berkata apa saja kepadanya dan ia akan prihatin , mendengar dan tidak sekali-kali
mencemuh atau mengutuk anda! Mungkin dia tidak menjawab atau memberi sebarang komen
akan tetapi anda dapat rasakan dia tidak langsung menyalahkan anda malahan mungkin dia
memahami dan menerima perasaan dan pandangan anda.

Sukar dicari! Anda mengeluh! Bagaimana wujud seorang yang demikian? Sebenarnya kita boleh
jadikan diri kita sebegini.Kak Su telah banyak mencuba mewujudkan *healing presence*
terhadap suami, anak-anak dan juga sahabat serta pesakit dan hasilnya memang baik sekali
bila Kak Su berjaya mewujudkan suasana begini!

Cuba membuat latihan begini ( 3-5 minit) untuk mewujudkan didalam jiwa suatu perasaan
kasih sayang dan simpati serta sikap perihatin terhadap ahli keluarga serta orang-orang yang
bermualah dengan kita.

Perhatikan nafas anda . Perhatikan naik turunnya. Jangan cuba ubah rentak atau kelajuan
nafas anda, cuma tumpukan perhatian dan perhatikan sahaja dengan tenang, tanpa niat
apa-apa perhatikan sahaja. Cuba membuatnya dua atau tiga kali lagi sebelum menjawab soalan
berrikut ini.

Apakah yang anda rasakan?Anda akan dapati nafas anda mengalami perubahan disebabkan
anda telah menyedari tentang pernafasan anda.

Apakah perubahan yang berlaku?

Adakah perubahan nya sama setiap kali anda mencuba latiahan ini?

Ada atau tidak perbezaan sebelum dan selelpas latihan ini?

Anda boleh memberi maklumbalas kepada saya melalui email.

Kita perlu faham setiap manusia yang mempunyai kebaikan dan keburukkan
sering kali memerlukan sesuatu yang tidak bersifat kritis untuk berubah.
Skripting adalah proses dimana setiap individu akan mewarisi perangai
ibu/bapa dan orang sekelilingnya maka memang anak-anak akan belajar apa
yang dialaminya. Kalau diajar kasih sayang maka anak akan bersifat kasih
sayang. Kalau diajar dengan kiritis, anak akan berrsifat kritis. Amat
susah untuk seorang individu melepaskan diri dari skriptingnya dan
dengan in kita perlu memahami sifat keras atau kasar, sifat malas, sifat
tidak prihatin, sifat tidak timbang rasa mungkin timbul dari skripting
yang dialami di rumahnya sendiri. Maka, seorang suami yang telah diajar
oleh ibunya bahawa orang lelaki tidak boleh buat kerja rumah, dia akan
mengamalkan sebegini walaupun isterinya juga sama-sama bekerja.

Bila kita masuk alam perkahwinan, sikap kita terhadap pasangan terbentuk
oleh pengalaman kita, dan membuahkan andaian bagaimana suami/isteri kita
patut memperlakukan terhadap kita dan rumah tangga. Maka akan meleset
lah penilaian kita terhadap pasangan bila andaian kita tidak menjadi
kenyataan.

Inilah punca salah faham yang sering timbul dan kadangkala membuahkan
suatu sikap kritis disebelah pihak yang sentiasa bersikap dan pandangan
negatif terhadap pasangannya.
Sikap sebegini membuahkan tindak tanduk yang bengis dan masam serta
menjadikan suasana rumah tangga muram dan tegang. Kak Su pernah menerima
aduan dari seorang isteri bahawa ia berasa lebih senang dan lega bila
suaminya*outstation*. Suaminya yang bersifat bengis dan bengkeng
terhadap isteri  dan anak-anak menimbulkan suasana tegang bila dia
berada di rumah.
Skripting suaminya ini adalah bahawa perempuan perlu dikawal dan
dihalang dan dimarah supaya patuh dan dengar kata. Sikap ini amat
merugikan bagi dirinya dan anak-anak serta isterinya. Sikap ini
menyebabkan suasana di rumah dengan kehadirannya berbentuk *wounding
presence* ia itu, suasana yang melukakan. Akibat suasana begini di rumah
menyebabkan anak-anak mendapat tekanan emosi, anak-anak lelaki mendapat
*skripting* yang serupa dan anak-anak perempuan berasa mereka makhluk
kelas kedua. Apatah lagi isteri yang telah membesar di dalam suasana
dirinya disayangi dan dianggap sama- rata kini dikenakan pula dengan
perlaku begini. Keadaannya kini kurus kering dan sering sakit, murung
dan sentiasa berasa rendah diri.
Ini adalah suatu keadaan yang tidak menguntungkan sesiapa termasuk suami
itu tadi.
Kak Su terfikir juga, ada kemungkinan bila melihat isteri yang semakin
nampak tua dan tidak menarik, akan timbul pula di dalam fikiran suami
bahawa isteri ini perlu digantikan, atau ditambah! Alangkah malangnya!
.................................................................................................................................

Kak Su mendapat  komen dari pembaca  mengatakan bahawa dia faham apa yang Kak Su ceritakan akan tetapi ramail suami tidak dapat faham dan katanya, ini disebabkan keegoan mereka

Kak Su menjawab bahawa kita tidak berupaya untuk mengubah sikap dan perangai manusia lain selain dari diri kita sendiri! Suami atau isteri anda , ataupun anak anda yang bersikap keegoan, atau bersikap yang membuatkan kehadirannya menjadi *wounding presence* tidak dapat lepaskan diri mereka  dari perbuatan demikian maka kita perlu faham perkara ini terlebih dahulu!

Seringkali bila kita baca sesuatu , seperti anda membaca apa yang Kak Su menulis, fikiran kita melayang kepada orang-orang yang tertentu yang kehadirannya menyakitkan kita dan kita berfikir bahawa orang itu perlu berubah..tetapi..kalau kita cuba mengubahkan orang itu dengan nasihat atau ucapan , ianya akan diambil sebagai *nagging* dan tidak akan dihiraukan.

Dengan sebab demikian, satu jalan bagi kita berhadapan dengan pasangan atau anak , atau pelajar, atau pekerja atau majikan yang sebegini ialah, kitalah yang mengubah sikap dan keadaan diri kita!

Seorang isteri yang mempunyai suami yang kehadirannya menyebabkan *tension*, setiap kali menjelang saat suaminya hampir pulang,  mulalah dia memakai *baju perang* atau *perisai*nya. Dia akan sediakan diri untuk dimarah dan diherdik. Sikapnya defensive....dan berbagai alasan bermain dikepala untuk meredakan marah sisuami.
Apa kata kalau kali ini bila suami marah dan melemparkan herdikkan dan kritis, dia berubah cara tindak balasnya?

Berbalik kepada latihan yang kita telah mulakan berapa hari yang lepas, latihan mengawasi nafas naik turun! Ruang nafas naik turun itu adalah ruang dada yang berkaitan dengan pintu hati kita. Dengan latihan itu kita akan dapati nafas kita menjadi lebih perlahan dan teratur. Ada yang akan terasa aman dan tenang. Ada yang akan dapat faham perasaan dan kehendak diri. Ada yang akan terasa dirniya penuh dengan perasaan kasih sayang dan simpati sesama manusia.

Ada sebuah lagi latihan sebagai persediaan untuk menghadapi lemparan perkataan berduri dari mana-mana pihak:

Bayangkan diri anda dikelilingi cahaya terang benderang yang memancar dari badan anda. Bila perkataan kesat dan herdikkan serta marah dilempar kepada anda , bayangkan bahawa perkataan itu menuju anda sebagai pancaran hitam pekat. Bayangkan pancaran hitam itu kena pada cahaya yang mengelilingi anda dan bayangkan pancaran hitam itu jatuh kebumi setelah tidak dapat menembusi cahaya anda. Awasi nafas anda dan selepas ini, hantarkan perasaan kasih kepada orang yang marah itu dengan membayangkan perasaan kasih itu sebagai warna merah jambu yang memancar dari dada anda dan menuju terus kepada orang yang memarahi anda.

Latihan ini akan membawa sebuah hasil yang mungkin pelik dan tidak dapat dijangka. Jika ia tidak berhasil pada mulanya , cuba dan cuba lagi. Sekurang-kurangnya latihan ini dapat mengurangkan kesan kehadiran yang melukakan.
.............................

Bagaimana untuk menjadikan diri kita bagaikan bunga mawar, siapa yang lihat akan tersenyum puas akan kecantikkan diri kita, siapa yang dekat terasa nikmat harum budi pekerti dan teladan yang kita tunjukkan dan dapat manfaat kehadiran kita yang menyembuhkan.

Cantik disini bukan bererti paras rupa yang telah didandan begitu rapi dan menarik serta seksi..tidak sekali. Cantik disini ialah manisnya pancaran ruhani yang terang benderang bagaikan suria, hati yang penuh kasih dan kebaikkan. Jiwa yang istirehat dan dapat memberi kerehatan kepada sesiapa yang bermuamalah dengan nya..

Lebih mudah menjadi duri yang melukakan dan sukar dilukai, duri sama duri tidak terasa sakit , tetapi duri boleh melukakan bunga mawar, akan tetapi bunga mawar itulah juga yang perlu kita contohi dan bukan duri yang berperisai dan bersenjata!

Di antara petua dari Kak Su ialah bahawa kita  perlu bersedia menerima Rahmat dari Allah. Rahmat dari Allah bagaikan hujan yang timpa keatas kesemua insan dan makhluk dibumi. Makhluk pula ibarat tanah yang menerima hujan. Ada yang lembut dan subur,  menerima hujan dan menggunakan air itu untuk menghasilkan tumbuh-tumbuhan yang segar . Ada tanah yang lebih pasir, yang hujan tidak dapat membasahkan maka tanah itu tandus dan tumbuhan ditanah ini kering dan kontang. Ada tanah yang keras macam batu, dan tidak boleh menerima hujan Rahmat Allah langsung maka tiada yang tumbuh diatasnya langsung! Tanda-tanda seseorang itu dapat menerima Rahmat Allah ialah bahawa sembahyangnya khusyuk dan menyegarkan . Dia terasa aman dan tenang  selepas solat. Hatinya lembut penuh kasih sayang terhadap sesama insan dan makhluk Allah.

Kenapa berlakunya sembahayang yang tidak mendatangkan sebarang hasil mengubahkan perangai dan pandangan seseorang menjadi lebih baik. Hari demi hari tiada perubahan, tiada kemajuan? Ini adalah topik lain yang perlu dibincang pada masa lain!

Berbalik kepada topik kita Kehadiran Yang Menyembuhkan. Kita cuba melahirkan kehadiran sebegini untuk  diri kita sendiri dan bukan kita menyuruh pasangan kita atau anak kita. Kita ingin jadikan diri kita seorang yang dengan kehadiran kita keadaan menjadi baik dan suasana menyembuhkan. Yang paling mustahak sekalu ialah bahawa kita menyediakan keadaan dalaman kita untuk tidak mempunyai perasaan negatif. Ini suatu perkara yang mungkin susah Betapa banyak perasaan sakit hati yang wujud di dalam diri kita. Berapa ramai manusia yang telah menyakitkan diri kita ini. Ada yang bercakap kasar, ada yang berhutang dengan kita yang tidak dibayar bertahun-tahun lamanya, ada yang umpat kita, ada yang khianati kita dan banyak lagi perbuatan manusia terhadap kita. Yang lebih menyedihkan ialah , walaupun keadaan itu sudah berlalu, kesan luka di dalam hati kita masih wujud, untuk menambahkan luka dan menimbulkan sakit!

Ada diantara kita tidak dapat tidur malam mengenangkan perbuatan-perbuatan yang menyakitkan kita. Ada yang masam dan kelat perasaannya setiap waktu sebab sakit hati dan dendam.

Anda boleh lakukan sebuah latihan untuk memahami keadaan diri anda tentang perkara ini. Tulis nama setiap orang yang berdosa dengan anda. Adakah senaria ini panjang atau pendek?Adakah ia termasuk orang yang terdekat dengan anda?

Adakah ia termasuk orang yang anda jumpa setiap hari? Fikirlah berapa banyakkah tenaga negatif yang anda guna untuk menghantar perasaan negatif terhadap nya.?

Ambil senarai ini untuk digunakan selepas sembahyang waktu berdoa. Semasa anda berdoa, anda lihat kepada nama-nama di senarai, sebutkan nama-nama nya dan berkata bahawa anda telah memaafkan orang itu dan niat sepenuh hati bahawa anda telah pun mengampunkan orang itu.Tidak semestinya anda akan cuba berbaik dengan *musuh* , sebab ini mungkin tidak wajar akan tetapi latihan ini adalah untuk menyembuhkan hati anda sendiri! Jika orang yang terdekat dan orang yang anda berjumpa hari-hari termasuk didalam senarai, ini keadaan yang tersangat sukar dan tidak baik untuk anda dan anda memerlukan langkah-langkah yang lebuh lanjut .

Sekiranya senarai anda termasuk orang yang terdekat , anda boleh cuba latihan ini:
Bayangkan orang itu di dalam keadaan yang paling baik sekali yang pada pendapat anda dia pernah lakukan dan tumpukan pemikiran anda kepada ingatan ini. Jika dia tidak pernah berkelakuan yang anda suka, anda fikir bagaimana perangai dia yang paling baik yang anda dapat bayangkan dan anda tumpukan perhatian kepada segala kebaikkan yang mungkin ada pada nya. Bila anda bermuamalah dengan orang ini, anda fokus ingatan anda kepada kebaikkan nya dan jika dia memarahi atau berkelakuan negatif terhadap anda , maka anda bayangkan seperti yang Kak Su sebut sebelum ini ia itu anda diliputi cahaya dan seterusnya.

Anda juga perlu doakan orang ini segala kebaikan dan Rahmat Allah dicucuri keatas nya setiap kali anda berdoa akan tetapi anda juga perlu faham bahawa perubahan didalam dirinya tidak berada ditangan anda. Anda perlu fikir bahawa perangai orang ini menyulitkan diri nya sendiri dan dia juga perlukan kasih sayang dan ada kemungkinan dia akan memberi respons yang positif bila dia melihat bahawa anda menyayanginya sebab hasil tindakkan anda ini akan membuahkan sekurang-kurang nya perasaan belas kasihan terhadapnya kalau pun anda tidak boleh menyintai nya.

Pembaca menulis sebagai maklum balas Kehadiran Yang Menyembuhkan:

Baru-baru ini saya sendiri terpaksa  berdepan dengan seorang anak remaja
(16 tahun)...macam-macam kata-kata kesat dikeluarkan dalam dia meluahkan perasaannya...pada mulanya dia membatukan diri...setelah diprovoke, baru dia nak luahkan...hampir satu jam kami menegakkan 'kebenaran' masing-masing.....we both cried... dia nampak kita saje yang salah...
"Saya rasa sedih sangat...semasa kecil..dibelai, dimanja, disusukan dsbnya. bila baru remaja dah tunjuk belang...  dalam perasaan tertekan tu, anak-anak lain pun kena 'smash' daripada ibunya ni.    Sebelah malamnya anak yang berumur 9 tahun tanya, 'masa kak yong besar adik (8 mths old), senang tak mak jaga ?..."Semua anak mak masa baby, senang nak jaga...tapi, semakin besar, semakin susah....lagi besar...lagi susah."..... ' Kalau macam tu...biarlah semua (10 orang) besar adik aje'...sampuk yang 7 tahun pulak.

      Kadang tu, memang betul...yang kecik-kecik ni lah penghibur lara!....tengah marah macamana pun,ibunya mesti akan memberi senyuman dan belaian.... tiada siapa yang sempurna...dalam menangkis pancaran hitam pekat tu, ada juga yang terserap sebabcahaya dari badan kita tak cukup terang dan kilaunya.... "

Ibu yang berumur 50 puluh tahun yang berjumpa Kak Su sebagai pesakit telah memulakan dengan berkata umur *menopause** mempunyai risiko tinggi dan dia meneruskan ucapannya dengan menyebut berbagai-bagai sakit yang dirasa. Melihat Kak Su masih tekun mendengar, dia teruskan lagi.....Sakit hati Kakak....anak punya pasal, merajuk rasanya....sejak Raya Haji sampai sekarang dia tak balik...dahlah kita pergi pinang gadis pilihannya, dia mintak putus pulak......

Rintihan ibu-ibu ini bukan lagi perkara asing bagi Kak Su. Sebagai seorang ibu yang anak-anak sudah menjangkau alam remaja dan alam dewasa, Kak Su sudah membuat kesalahan-kesalahan mendidik anak dan telah faham selok belok perasaan seorang ibu.

Ibu, fahamlah anak mu itu dari darah daging mu akan tetapi kehidupan nya asing dari kehidupan mu. Ibu, kamu tahu baik buruk sesuatu dan kamu memberi nasihat kepada anak tentang baik buruk tindak tanduk anak akan tetapi, kamu tidak boleh menghalang anak dari membuat kesilapan dan mempelajari pelajaran hidup melalui pengalaman nya sendiri. Kamu wahai ibu tidak boleh meminta anak menunaikan kehendak kamu sebab kehidupan anak mu adalah kehidupan nya sendiri, dia seorang insan tersendiri dan memerlukan kasih mu yang tidak bersyarat. Jika kamu luka disebabkan
kekasaran tindak tanduk nya terhadap dirimu,  jangan lukakan dia dengan yang sama..ini bukan perang, ini ujian Allah untuk kamu, untuk melihat apa yang kamu telah pelajari sehingga menjadi ibu kepada anak remaja....dan kamu lebih banyak latihan dan lebih banyak pengalaman dari anakmu itu ....maka ubahlah tindak tanduk mu itu...Jangan nak menuntut hak seorang ibu, gunakanlah kuasa yang ada pada kamu , kuasa memaafkan anak.....dan beri hak pada ibumu , jangan tuntut hak dari anakmu. Wahai Ibu Mawar Merah, kehadiran mu menyembuhkan luka-luka suami dan anak-anak.....luka-luka mu, Allah mengubati dan menyembuhkan......
..........................
Ada yang akan kata, macam mana begini, adakah patut kita mengorbankan diri kita demi anak dan pasangan kita, menelan perasaan untuk menjadikan diri kita ini kehadiran yang menyembuhkan?

Sebuah senario:

1. Isteri bangun lambat pagi ini, badan nya kurang sihat.Suami yang memang bangun awal sediakan sarapan. Isteri bergegas ke dapur melihat suami sudah pun sediakan sarapan..Melihat muka isteri yang berwajah serba salah, suami senyum sinis.".hai...nie jam suami lah kena masakk!!" Isteri jatuh air muka dan terasa sedih dan bersalah dengan kecuaiannya bangun lambat.Perbuatan suami melukakan isteri yang terus dengan rasa bersalah . Mereka duduk makan sarapan di dalam keadaan diam yang tegang , melayan perasaan masing-masing, si isteri terasa bersalah dan badan masih lemah sebab sakit. Si suami dengan perasaan kesal sebab dia mendapat dapat isteri yang tidak bertanggung jawab. Si suami dengan perasaan bahawa dia terlalu baik, sanggup menyediakan sarapan yang pada pendapatnya hanya kerja orang perempuan. Suasana keluarga ini melukakan.

2. Isteri bangun lambat pagi ini, badan nya kurang sihat.Suami yang memang bangun awal sediakan sarapan. Isteri bergegas ke dapur melihat suami sudah pun sediakan sarapan..Melihat muka isteri yang berwajah manis dan tersenyum, suami senyum sinis.".hai...nie jam suami lah yang kena masakk!!"
Isteri menjawab dengan manis. " Bang, terima kasih kerana tolong membuat sarapan hari ini. Siti kurang sihat pagi ini, abang tahu kan , Siti balik lambat dari pejabat semalam? Kita gilirlah bang ye?"
Isteri mengajak suami dengan pujuk mesra dan mereka bersarapan di dalam suasana aman, terubat perasaan suami dengan keterangan dan pujuk manja si isteri yang bijaksana , yang boleh membalas pancaran negatif dengan pancaran positif.

3.Isteri bangun lambat pagi ini, badan nya kurang sihat.Suami yang memang bangun awal sediakan sarapan. Isteri bergegas ke dapur melihat suami sudah pun sediakan sarapan.Melihat muka isteri yang berwajah serba salah, suami senyum manis penuh mesra, " Siti tak payah buatkan sarapan pagi ini, ini turn abang pula..mari kita makan, dah siap pun!" Isteri senyum mesra dan mereka bersama makan sarapan dengan keadaan penuh kasih sayang , kehadiran masing-masing saling menyembuhkan. Keluarga ini saling bantu membantu, tidak ada perasaan mana-mana pihak bersalah dan kerja dikongsi bersama. Suasana keluarga ini menyembuhkan.

Begitulah kita, sikap kita terhadap apa yang kita lakukan menentukan perasaan kita dan perasaan orang sekekeliling kita. Kita boleh lakukan dengan manis dan rela hati, kita boleh lakukan dengan masam dan dengan perasaan tak patut( self righteous).
 

.Kak Su
Dr Suriya Osman
hak cipta terpelihara
boleh digunakan untuk tujuan tidak komersial..